INDAHNYA TANGAN IBUKU

Kisah terjadi beberapa tahun lalu ketika ibu mengajak saya menemaninya ke bandar. Ibu mahukan jubah baru kerana katanya jubah sedia ada sudah agak lusuh dan ibu malu dengan kariah di masjid.

Bukan saya tidak pernah belikan ibu jubah tetapi, ibu agak cerewet orangnya. Bila ibu tidak berkenan, saya serik untuk membelinya lagi. Saya sebenarnya tidak suka membeli-belah dengan orang lain, lebih suka bersendirian. Cepat. Tetapi, saya akur juga kerana beliau ibu saya. Kami masuk dari satu kedai ke satu kedai, dan ibu mencuba dari satu jubah ke satu jubah namun tiada yang berkenan di hatinya. Saya sudah katakan, ibu memang cerewet.
          Hari sudah beransur petang dan saya mulai kepenatan. Ibu juga nampak sedikit kecewa. Tiba di kedai terakhir, ibu mencuba sehelai jubah biru yang cantik dan dihiasi tali di bahagian lehernya. Kerana mahu lekas pulang, kali ini saya menuruti ibu masuk ke bilik mencuba pakaian tersebut. Dengan susah payah ibu mencuba untuk mengikat talinya.
Ternya tangannya sudah mulai dilumpuhkan oleh penyakit radang sendi dan sebab itulah ibu tidak dapat melakukannya. Ketika itu, ketidaksabaran saya digantikan dengan suatu rasa kasihan yang amat dalam terhadapnya. Saya keluar dari bilik itu dan cuba menyembunyikan air mata yang mengalir keluar tanpa saya sedari. Setelah saya kembali tenang, saya kembali masuk ke bilik tersebut untuk mengikatkan tali jubah ibu.
Pakaian ini begitu indah sekali dan ibu membelinya. Perjalanan kami hari itu berakhir, tetapi  kejadian tersebut  tidak dapat saya lupakan. Sepanjang hari itu, fikiran saya tetap kembali ke bilik berkenaan dan terbayangkan tangan ibu saya yang sedang berusaha mengikat tali jubahnya dengan begitu susah payah sekali.
          Kedua tangan yang penuh dengan kasih, yang pernah menyuapi saya, memandikan saya, memakaikan baju, membelai dan memeluk saya, dan lebih dari semua itu, berdoa untuk saya. Sekarang tangan itu telah menyentuh hati saya dengan cara yang paling membekas di jiwa ini. Lewat malam itu, saya menuju ke kamar ibu yang sedang tidur, mencium tangannya. Ibu terjaga dari tidurnya.
Entah dari mana kekuatan itu datang, hilang segala rasa malu dan kekok saya selama ini apabila menyatakan kepadanya bahawa bagi saya, kedua-dua tangan tersebut adalah tangan yang paling indah di dunia ini. Ibu nyata terkejut kerana antara kami selama ini tidak pernah emosional begitu.
Bertapa bernilai dan berharganya kasih sayang yang penuh pengorbanan dari seorang ibu. Semoga suatu hari kelak, tangan dan hati saya akan memiliki keindahan tersendiri seperti tangan ibu.


-Artikel dari akhbar tempatan

No comments: